Zikir Harian

ZIKIR HARIAN

HARI AHAD: Ya Hayyu Ya Qayyum ( 1000 X ) [Ya Allah, Tuhan Maha Hidup Lagi Berdiri Dengan Sendiri]
HARI ISNIN: La haula wala quwwata illa billa hil 'aliyyil 'a ziim ( 1000 X ) [Tiada Daya & Kekuatan Melainkan Dengan Kekuasaan Allah Yang Maha Tinggi Lagi Maha Agung]
HARI SELASA: Allahumma salli 'ala 'abdika warasulika wanabiyyikal amiina wa'ala alihi wasahbihi wasallim ( 1000 X ) [Ya Allah, Rahmatilah Ke atas Nabi Muhammad S.A.W & Keatas Keluarga Baginda]
HARI RABU: Astagh firullahal 'a ziim ( 1000 X ) [Aku Memohon Keampunan Kepada Allah Tuhan Maha Esa]
HARI KHAMIS: Subhanallahii 'a ziim , Subhanallahi wabihamdihi ( 1000 X ) [Maha Suci Allah Yang Maha Agung & Segala Puji UntukNya]
HARI JUMAAT: Ya Allah ( 1000 X )
HARI SABTU: La ilaha illallah ( 1000 X ) [Tiada Tuhan Yang Disembah Melainkan Allah]

Showing posts with label bulan Islam. Show all posts
Showing posts with label bulan Islam. Show all posts

Sunday, July 7, 2013

Ibadat Puasa Ramadhan


Puasa Ramadhan
Puasa Ramadhan ertinya menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari pada bulan Ramadhan. Hukum puasa Ramadhan adalah wajib bagi umat Islam. Umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, mengeluarkan kata-kata buruk atau sia-sia, serta bertengkar atau bergaduh. Ini kerana puasa merupakan medan latihan memupuk kesabaran, kejujuran serta bertolak ansur dalam diri. Secara tidak langsung amalan puasa akan menyuburkan sikap murni di dalam diri pelakunya. Adalah menjadi harapan kita agar kesemua nilai yang baik ini akan terus dipraktikkan ke bulan-bulan berikutnya.

Niat Puasa Ramadhan 

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى

Niatnya: Sahaja aku puasa esok hari bagi menunaikan puasa Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.
--Lafaz niat puasa Ramadhan sepenuhnya untuk sebulan:
نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كِلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى
Niatnya: Sahaja aku berpuasa sebulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.
  • Digalakkan berniat puasa untuk sebulan dengan sekali niat pada malam pertama Ramadhan bagi mengelakkan daripada tidak sah puasa kerana terlupa berniat pada malamnya, kita mengikut Imam Malik yang membolehkan berniat untuk sebulan sekali gus.
  • Namun begitu, jika puasa Ramadhan kita terputus oleh sesuatu sebab, seperti haidh, sakit atau lain-lain, maka niat puasa sebulan itu tidak lagi memadai untuk hari-hari puasa yang seterusnya, tetapi, hendaklah diperbaharui niat apabila tidak ada lagi perkara yang menghalang daripada puasa berturut-turut tersebut. Maksudnya, dengan memperbaharui niat sekali lagi bagi semua hari-hari puasa Ramadhan yang berbaki, iaitu lafaz niatnya:
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ وَ إِلَى ءَاخِرِ رَمَضَانَ لِلَّهِ تَعَالَى
Niatnya: Sahaja aku berpuasa esok dan sehingga akhir Ramadhan ini kerana Allah Ta’ala.

Waktu Berniat
Waktu berniat bermula daripada terbenam matahari, yakni masuk waktu sembahyang fardhu Maghrib hinggalah sebelum terbit fajar shadiq (waktu Subuh). Oleh itu, bolehlah dilakukan niat puasa pada mana-mana bahagian daripada waktu tersebut, walaupun semasa berbuka.

Syarat Wajib Puasa
Orang-orang Islam yang memenuhi syarat-syarat di bawah ini diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadhan:
  • Berakal/waras
  • Baligh (cukup umur)
  • Mampu/tidak uzur.
Syarat Sah Puasa
  • Orang Islam
  • Berakal - tidak sah jika gila atau kanak-kanak belum mumayyiz
  • Suci daripada haid dan nifas
  • Dalam waktu yang dibolehkan berpuasa, iaitu bukan dalam tempoh haram puasa.
Rukun Puasa
  • Berniat pada malam harinya
  • Menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari.
Perkara Yang Disunatkan Ketika Berpuasa
  • Makan sahur serta melambatkannya
  • Menyegerakan berbuka dan sunat berbuka dengan buah kurma atau benda-benda yang manis atau air
  • Menjamu orang-orang berbuka puasa
  • Solat Tarawih pada malam harinya
  • Memperbanyakkan ibadah dan berbuat kebaikan
  • Berungguh-sungguh dan tekun berjaga malam pada 10 malam terakhir Ramadhan untuk mendapatkan malam al-Qadar atau Lailatul Qadar.
Perkara Yang Membatalkan Puasa
Manakala perkara-perkara berikut akan membatalkan puasa jika terjadi:
  • Makan dan minum dengan sengaja walaupun pada nilaian dan kadaran yang sedikit pun,seperti memakan saki baki makanan kecil yang terlekat pada celah gigi dan lain-lain lagi.
  • Muntah dengan sengaja
  • Bersetubuh
  • Mengeluarkan air mani dengan sengaja
  • Keluar darah haid atau nifas
  • Hilang akal (seperti gila)
  • Pitam(termasuk pengsan) atau mabuk sepanjang hari.
  • Merokok disiang hari.(Termasuk menghisap ganja atau dadah)
  • Murtad (keluar dari Islam)
  • Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka seperti menyembur pewangi atau menyegar mulut dan sebagainya. Larangan ini tidak termasuk memasukkan air atau udara kedalam rongga terbuka kerana ingin berwuduk atau melegakan kesakitan dan ketidakselesaan pada rongga(dengan syarat air tersebut tidak diminum atau ditelan dengan sengaja).
Mereka Yang Diizinkan Berbuka Puasa
Terdapat kelonggaran (harus) kepada golongan yang berikut untuk berbuka:
  • Orang yang sakit .
  • Orang yang berkerja buruh.
  • Orang yang dalam musafir (perjalanan).
  • Orang tua yang sudah lemah.
  • Orang yang hamil dan ibu yang menyusukan anak


Sumber: Wikipedia Bahasa Melayu

Friday, July 20, 2012

salam ramadhan

esok hari pertama umat Islam berpuasa.
jadi jangan lupa baca niat puasa.....

semoga Ramadhan tahun ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya




Sunday, July 31, 2011

Selamat Datang Ramadhan


Ramadhan datang lagi bersama jutaan hikmah dan fadhilah. Ramadhan hadir dalam suasana yang begitu mendamaikan bagi setiap ummah.
Kata orang, kehadirannya dinanti, pemergiannya ditangisi, ketiadaannya dirindui. Begitu hebatnya Ramadhan. Menyejukkan hati dan membuka taubat buat semua insan. Mendekatkan diri pada Tuhan dengan penuh keikhlasan. Salam Ramadhan al-Mubarak buat semua muslimin dan muslimat

Sunday, December 5, 2010

Perkara yang perlu diketahui mengenai 1 & 10 Muharram


Hari Awal Muharram atau Hari Maal Hijrah merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana ia menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam. Ia memperingati penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Berlaku pada 1 Muharam, ia merupakan hari pertama Takwim Hijrah.

Sebelum Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Yathrib, kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi. Hijrah Rasulullah memberi kesan besar kepada Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri.

Pada asasnya, Muharram membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91). Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan.

Daripada Al-Hassan Al-Basri rahimahumullah sesungguhnya Allah s.w.t telah membuka lembaran tahun baru di dalam takwim Islam dengan bulan Muharram. Tidaklah kedapatan bulan yang lebih mulia dalam takwim Islam di sisi Allah s.w.t itu selepas bulan Ramadhan melainkan bulan Muharram. Ianya dinamakan bulan Allah yang khas disebabkan besarnya kehormatannya. 

PERISTIWA PENTING BULAN MUHARRAM
  1. 1 Muharram - Khalifah Umar Al-Khattab menetapkan adalah hari pertama bagi setiap tahun baru Islam (Kalendar Hijriah).
  2. 10 Muharram - Dinamakan juga hari 'Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran.
Pada 10 Muharram juga telah berlaku:
  1. Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
  2. Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
  3. Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
  4. Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
  5. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
  6. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
  7. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
  8. Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
  9. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
  10. Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
  11. Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
  12. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
  13. Hari pertama Allah menciptakan alam.
  14. Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
  15. Hari pertama Allah menurunkan hujan.
  16. Allah menjadikan 'Arasy.
  17. Allah menjadikan Luh Mahfuz.
  18. Allah menjadikan alam.
  19. Allah menjadikan Malaikat Jibril.
  20. Nabi Isa diangkat ke langit.
ANTARA AMALAN DISUNATKAN PADA BULAN MUHARRAM
  1. Berpuasa. Maksud Hadis: Barang siapa berpuasa satu hari dalam bulan Muharram pahalanya seumpama berpuasa 30 tahun. Maksud Hadis: Barang siapa yang berpuasa tiga hari dalam bulan Muharam, iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah tulis padanya pahala seperti mana beribadat selama 2 tahun.
  2. Banyakkan amal ibadat seperti solat sunat, zikir dan sebagainya.
  3. Berdoa akhir tahun pada hari terakhir bulan Zulhijah selepas Asar sebanyak 3 kali
  4. Berdoa awal tahun pada 1 Muharram selepas Maghrib 3 kali
14 perkara sunat dilakukan pada hari Asyura (10 Muharram):
  1. Melapangkan masa/belanja anak isteri. Fadilatnya - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
  2. Memuliakan fakir miskin. Fadilatnya - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.
  3. Menahan marah. Fadilatnya - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang redha.
  4. Menunjukkan orang sesat. Fadilatnya - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.
  5. Menyapu/mengusap kepala anak yatim. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang disapunya.
  6. Bersedekah. Fadilatnya - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
  7. Memelihara kehormatan diri. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.
  8. Mandi Sunat. Fadilatnya - Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu. Lafaz niat: "Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala."
  9. Bercelak. Fadilatnya - Tidak akan sakit mata pada tahun itu.
  10. Membaca Qulhuwallah hingga akhir 1,000 kali. Fadilatnya - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah di akhirat nanti.
  11. Sembahyang sunat empat rakaat. Fadilatnya - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. Lafaz niat: "Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala." Pada rakaat pertama dan kedua selepas Fatihah dibaca Qulhuwallah 11 kali.
  12. Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.
  13. Puasa. Niat - "Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala." Fadilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.
DOA AKHIR TAHUN HIJRAH

Doa Akhir Tahun dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib  pada akhir bulan Zulhijjah.



DOA AWAL TAHUN

Doa Awal Tahun dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam satu Muharram.

P/S: Berhubung dengan doa ini, ia bukanlah amalan dan sunnah Rasulullah SAW. Namun, tidak salah kita berdoa semoga dengan kehadiran tahun baru supaya kita lebih bersemangat untuk merancang hidup yang lebih baik. Cuma jangan khususkan doa tersebut sebagai doa yang 'standard'.

Sumber: www.al-azim.com & wikipedia

-SALAM MAAL HIJRAH 1432 H BERSAMAAN 7 DISEMBER 2010 M. SEMOGA TAHUN BARU INI LEBIH BAIK DARI TAHUN SEBELUMNYA-

 

Saturday, November 13, 2010

Kelebihan dan Amalan bulan Zulhijjah

 
Antara rahmat Allah SWT yang besar kepada kita ialah disediakan beberapa pesta ibadat sepanjang tahun. Kerana itulah kita mendengar kelebihan hari Jumaat sebagai hari terbaik di dalam seminggu, bulan Ramadhan itu adalah bulan terbaik di dalam setahun, malam lailatul qadar itu adalah malam yang terbaik berbanding malam-malam yang lain dan Allah turut memberikan sepuluh hari pertama dalam bulan Zulhijjah sebagai hari terbaik di dalam setahun.
Tujuan disediakan musim pesta ibadah ini ialah sebagai peluang dan galakan kepada umat Islam meningkatkan pelaburan ukhrawi mereka.

Kelebihan dan amalan yang digalakkan semasa sepuluh hari pertama Zulhijjah ini boleh diringkaskan seperti berikut:

1. Disumpah Di Dalam Al-Quran
Allah SWT banyak menggunakan metodologi bersumpah di dalam al-Quran, dengan bertujuan untuk memberikan penegasan kepada ayat seterusnya, serta memberikan petunjuk terhadap kelebihan perkara yang menjadi sumpahan tersebut. Di dalam surah al-Fajr ayat 1-2, Allah telah berfirman yang bermaksud :

"Demi waktu fajar, dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah)."
Di dalam tafsir al-Tabari, Ibn Jarir telah mendatangkan banyak riwayat mengenai pandangan ulamak terhadap yang dimaksudkan dengan sepuluh malam di dalam surah al-Fajr di atas. Ada yang menyatakan ianya bermaksud sepuluh hari pertama bulan Muharram. Sebahagian menyatakan sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan, dan ini disokong oleh Syeikh Ibn Uthaimin.
Akan tetapi pandangan jumhur ialah sepuluh hari berkenaan berlaku pada awal Zulhijjah. Dengan sebab itulah hari-hari tersebut dianggap sebagai hari yang mulia dan penuh dengan kelebihan.

Menurut Ibn al-Qayyim di dalam Zad al-Ma'ad, siang sepuluh hari pertama Zulhijjah adalah lebih afdhal daripada sepuluh hari terakhir Ramadhan, sementara sepuluh malam terakhir Ramadhan pula adalah lebih baik daripada sepuluh malam pertama Zulhijjah kerana berlakunya lailatul qadar.

2. Hari Digalakkan Beramal Ibadah
Bersabda nabi Muhammad SAW yang bermasud :
Dan tiadalah hari yang beramal soleh padanya paling dicintai Allah melainkan sepuluh hari pertama Zulhijjah ini. Sahabat bertanya, "Bukankah jihad fi sabililllah?" Jawab baginda, "Ya termasuklah jihad fi sablillah, kecuali mereka yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawanya kembali walau sedikit". (Riwayat Al-Bukhari)

Berdasarkan hadith ini, para ulamak menggalakkan umat Islam meningkatkan semua jenis amal ibadah seperti puasa, bersedekah, qiyamullail dan seumpamanya pada sepuluh hari yang mulia ini.

3. Hari Yang Dihimpunkan Semua Ibadah Utama Dalam Islam
Di dalam kitab Fathul Bari, Al-Hafiz telah menerangkan mengapa amal ibadah amat digalakkan pada sepuluh hari pertama Zulhijjah:

"Adapun sebab keistimewaan sepuluh hari pertama Zulhijjah ialah kerana terhimpunnya semua ibadah utama padanya iaitu solat, puasa, zakat dan haji, yang mana ianya tidak berlaku pada masa yang lain."

4. Galakan Berpuasa Terutamanya Pada 9 Zulhijjah
Di dalam sepotong hadith sahih riwayat Muslim, Abu Qatadah meriwayatkan yang nabi ditanya mengenai fadhilat berpuasa pada hari Arafah (9 Zulhijjah), maka jawab baginda:
"Diampunkan dosa tahun yang lepas dan yang masih berbaki."

Selain itu umat Islam juga digalakkan berpuasa pada awal bulan, iaitu pada 1 Zulhijjah. Dalam masa yang sama, ada riwayat yang menyatakan ramai salafussoleh berpuasa pada sembilan hari pertama Zulhijjah. Perlu diperingatkan juga yang berpuasa pada hari 10 sehingga hari 13 Zulhijjah adalah dilarang di dalam Islam.

5. Awal Zulhijjah Adalah Musim Haji
Awal Zulhijjah ialah musim menunaikan ibadah haji bagi umat Islam yang mampu. Pada waktu inilah hampir 3 juta jemaah haji akan berhimpun beramai-ramai menyahut panggilan Allah di tempat yang suatu masa dahulunya merupakan bumi kering-kontang. Ibadah haji juga merupakan satu-satunya rukun Islam yang dijadikan nama surah di dalam al-Quran. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Hajj ayat 27 yang bermaksud:

"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh."

6. Turut Dikenali Sebagai Hari Ma'lumat
Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 28 yang bermasud:
"Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan manfaat/faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu (hari ma'lumat), kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin."

Ulamak menafsirkan hari ma'lumat sebagai hari yang ditentukan oleh Allah SWT dengan pelbagai jenis kelebihan dan fadhilat. Ianya bukan sekadar kelebihan akhirat semata-mata, tetapi turut membabitkan kelebihan duniawi.

Menurut Mujahid seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Jarir di dalam tafsirnya, yang dimaksudkan dengan menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah di dalam awal ayat di atas ialah keampunan di akhirat, dan keuntungan perdagangan di dunia.

Keuntungan akhirat adalah sesuatu yang pasti perlu direbut oleh para jemaah haji. Sementara manfaat atau keuntungan perdagangan di dunia pula disebut oleh Mujahid dalam ulamak salaf yang lain sebagai konteks realiti duniawi zaman dahulu.

Pada zaman sekarang, memang tidak dinafikan yang keuntungan berniaga akan berlipat ganda khususnya bagi penduduk tanah Haram. Akan tetapi kita perlu menyempitkan maksud keuntungan duniawi dalam sektor perdagangan sahaja.

Umat Islam perlu memanfaatkan perhimpunan 3 juta manusia ini untuk menatijahkan manfaat serta kekuatan yang lain. Bagi pemimpin negara umat Islam, inilah masa mereka berbincang memikirkan kesatuan dan kemajuan masing-masing. Kekuatan muslim perlu dijana semasa perhimpunan agung ini, semoga roh-roh yang baru menunaikan ibadah haji pulang ke tanah air masing-masing dengan semangat yang tinggi serta kesatuan yang jitu.

Inilah masanya untuk menyatakan kemarahan kepada musuh Islam dan musuh keinsanan. Negara Muslim yang kuat membantu negara Muslim yang lemah. Muslim lama membantu muslim muallaf. Muslim minoriti berkongsi pengalaman dengan muslim majoriti  di negara masing-masing. Bagi saya, inilah manfaat duniawi yang terbesar sepatutnya dicari oleh para hujjaj semasa musim haji.

Dalam masa yang sama, umat Islam juga diminta untuk memperbanyakkan bacaan takbir sebagai tanda kita berzikir dan mengagungkan Allah SWT sejajar dengan ayat di atas. Bertakbir adalah amat dituntut daripada bermulanya malam 10 Zulhijjah sehinggalah hari tasyriq pada 13 Zulhijjah.

7. Digalakkan Menunaikan Ibadah Kurban
Di dalam surah al-Hajj ayat 28 di atas, Allah turut menggalakkan umat Islam yang mampu untuk menunaikan ibadah qurban. Mengikut jumhur, hukumnya adalah sunat muakkadah bagi yang mampu.

Sementara Imam Abu Hanifah pula menyatakan hukumnya adalah wajib.
Apa yang pasti, tujuan utama menunaikan ibadah qurban bukannya semata-mata untuk mempersembahkan darah atau daging haiwan sembelihan tersebut kepada Allah, akan tetapi untuk umat Islam mengejar ketaqwaan di sisi-Nya. Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 37:

"Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya."

8. Wujudkan Rasa Kebersamaan Antara Orang Yang Pergi Haji Dengan Yang Tidak Pergi Haji
Orang yang menunaikan ibadah qurban sebenarnya turut menyertai pesta ibadah haji. Dengan sebab itulah ada beberapa larangan kepada para hujjaj yang turut dikongsi sama dengan mereka yang berniat untuk menunaikan ibadah qurban, seperti larangan bercukur dan memotong kuku kepada para hujjaj yang sedang berihram yang turut sama dikongsi larangan tersebut kepada umat Islam yang bukan menunaikan haji tetapi ingin melaksanakan ibadah qurban. Sabda nabi Muhammad seperti di dalam riwayat Muslim:

"Sekiranya masuk sepuluh hari Zulhijjah, dan antara kamu ada yang ingin menyembelih kurban, maka janganlah menggunting/cukur rambut atau memotong kukunya (sehinggalah haiwan tersebut disembelih)."

Selain itu, ketika para hujjaj mengulangi talbiah sebagai simbolik kejayaan mereka menyahut seruan Allah dan juga mengagungkanNya, umat Islam yang lain di seluruh dunia turut digalakkan mengulangi takbir sehinggalah ke hari terakhir haji pada 13 Zulhijjah. Justeru, wujudlah rasa kebersamaan.


Sumber: www.iluvislam.com 


-SALAM AIDILADHA KEPADA SEMUA UMAT ISLAM-

Wednesday, September 8, 2010

Persiapan Aidilfitri (Perkara Yang Perlu Dilakukan Pada 1 Syawal)


Ramadhan hampir berlalu, Syawal pula hampir menjelang tiba sebagai tanda berakhirnya ibadat puasa yang merupakan rukun Islam yang ke empat. Moga setiap amalan yang dikerjakan di bulan Ramadhan berterusan dilaksanakan sehingga bertemu yang seterusnya,insyaAllah.

Syawal merupakan bulan kemenangan bagi seluruh umat Islam setelah berjaya menahan nafsu amarah, dari lapar,dahaga serta mengawal anggota badan daripada melakukan perkara yang dilarang. Namun tidak bermakna berakhirnya Ramadhan di situlah juga penamat kepada segala amalan yang dilakukan bahkan seharusnya ia menjadi pemangkin diri bagi setiap individu muslim untuk terus berada dalam nikmat ketenangan yang telah dirasai semasa Ramadhan dengan meneruskan dan meningkatkan lagi amal ibadat.
 
Antara penerusan amalan yang boleh dilaksanakan di bulan Syawal ini adalah puasa Enam, sabda Rasulullah s.a.w : ‘Jika seseorang berpuasa semasa Ramadhan kemudian mengikuti dengan enam hari Syawal,ia adalah seperti berpuasa sepanjang tahun.’ (RIwayat Muslim). Oleh itu marilah kita bersama-sama usahakan untuk melaksanakan puasa enam ini di sepanjang bulan Syawal.Selain itu, Syawal juga merupakan peluang untuk umat Islam berkumpul dan merapatkan lagi hubungan silaturrahim serta bermaaf-maafan sesama kita.   

Persiapan Hari Raya

1. Bangun awal pagi dan mandi sunat hari raya.

2. Memakai pakaian yang terbaik, cantik dan baharu.

3. Mengenakan harum-haruman dan bau-bauan.

4. Disunatkan makan terlebih dahulu sebelum pergi solat sunat hari raya
(bagi yang raya aidilfitri sahaja)

5. Sunat pergi awal-awal ke tempat melakukan solat sunat hari raya kecuali
imam/khatib yang bertugas pada hari itu.

6. Sunat pergi berjalan kaki (kalau tiada kesukaran). Pergi melalaui jalan
yang dekat dan pulang melalui jalan lain yang jauh sedikit.

7. Disunatkan seluruh umat Islan samada tua atau muda, lelaki dan perempuan
termasuk yang dalam haid untuk menghadiri perhimpunan solat sunat Hari
Raya.
Ummu 'Athiyah R.A berkata :- "Kami disuruh membawa gadis-gadis kecil dan
wanita-wanita yang haid pada dua hari raya (Aidilfitri dan AidilAdha)
agar mereka menyaksikan kebajikan dan doa kaum muslimin, tetapi
wanita-wanita yang sedang haid itu terpisah dari tempat solat."
[Hadith Riwayat : Muttafaq'alaih]

8. Menunaikan solat sunat Hari Raya dan mendengar khutbah.

9. Sunat memperbanyakkan takbir dan tahmid. Takbir raya terbahagi kepada
dua iaitu takbir mutlaq dan takbir muqayyad.

10. Sunat beribadah pada malam hari raya antaranya solat sunat, bacaan
Al-Quran, berzikir, bertakbir dan seumpamanya. Sabda Rasulullah SAW :-
"Barang siapa menghidupkan dua malam Hari Raya (Aidilfitri dan
AidilAdha), ALLAH SWT akan menghidupkan hatinya di hari matinya hati-hati
manusia."

11. Bermaaf-maafan.

12. Ziarah-menziarahi bagi tujuan mengeratkan hubungan kekerabatan
(silaturrahim). Sabda Rasulullah SAW :- "Hubungan silaturrahim adalah
jalinan dengan arasy. DIA (ALLAH SWT) berfirman : Sesiapa yang
menyambungKU, ALLAH SWT juga akan berhubung dengannya dan siapa yang
memutuskanku, ALLAH SWT memutuskan hubungan dengannya."
[Hadits Riwayat : Muslim]

13. Bersikap sederhana dalam menyambut Hari Raya. Jangan melakukan
pembaziran dan keterlaluan dalam berbelanja.

14. Membataskan pergaulan dalam sambutan. Jangan berlaku pergaulan yang
terlalu bebas dan melanggar hukum yang ditetapkan syara'.

15. Memelihara seluruh ibadah dalam menyambut Hari Raya khususnya solat
samada solat qasar, jama' atau solat tamam (sempurna).


Oleh itu para sahabat yang dikasihi, janganlah segala usaha dan amalan yang dilaksanakan di bulan Ramadhan disia-siakan begitu sahaja, terusanlah untuk menggapai redha dan rahmat Allah swt, bertakbir,bertahmid dan berzikirlah memuji kebesarannya dan berdoalah agar ditetapkan iman di hati lebih-lebih lagi syaitan yang dibelenggu ketika Ramadhan telah dilepaskan dan kembali untuk meracuni hati hamba-hambaNYA.




Sumber: iLuvislam.com

-SALAM SYAWAL & MAAF ZAHIR BATIN BUAT SEMUA MUSLIMIN & MUSLIMAT-

Tuesday, August 10, 2010

Keistimewaan Bulan Ramadhan


Ramadan datang lagi.Bulan Ramadan telah dimuliakan oleh ALLAH dengan pelbagai keistimewaan berbanding bulan-bulan ALLAH yang lain. Antara keistimewaan yang terdapat pada bulan Ramadan ialah:


1. Disyariatkan Ibadah Puasa


Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan yang mana pada bulan ini disyariatkan ibadah yang amat mulia di sisi ALLAH, iaitu puasa. Sabda Rasulullah s.a.w:


"
Telah tiba kepada kamu bulan Ramadan, iaitu bulan yang penuh keberkatan. ALLAH telah mewajibkan ke atas kamu agar berpuasa pada bulan itu." ­- Hadis riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya , hadis no: 9133.

2. Bulan Diturunkan Al-Quran


Kalamullah al-Quran telah diturunkan pada bulan ini. Seluruh umat Islam beriman bahawa al-Quran merupakan kitab yang menjadi petunjuk bagi sekalian hamba ALLAH untuk membezakan di antara kebenaran dan kebatilan. Firman ALLAH S.W.T:


"
(Kamu diwajibkan berpuasa) pada bulan Ramadan yang mana diturunkan al-Quran pada bulan itu. (Al-Quran itu) menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan juga membawa keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dengan yang salah." - Surah al-Baqarah: 185.


3. Pintu Syurga Terbuka Luas


Pada bulan Ramadan yang penuh berkat ini juga dibuka seluas-luasnya pintu syurga bagi mereka yang beriman dan taat kepada perintah ALLAH. Bahkan, di bulan yang mulia ini jugalah ALLAH melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-NYA yang menjadi penyebab memudahkan mereka masuk ke syurga. Sabda Rasulullah s.a.w :


"
Apabila datang bulan Ramadan, pintu-pintu syurga akan dibuka." - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya, hadis no: 1898.


4. Pintu Rahmat (Belas Kasihan Terhadap Hamba-NYA) Terbuka Luas


Pada bulan Ramadan pintu-pintu Rahmat dibuka. ALLAH meluaskan rahmat-NYA agar menaungi seluruh hamba-hamba-NYA yang tekun beribadah dan taat kepada-NYA dengan memberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Sabda Rasulullah s.a.w :


"
Apabila tiba bulan Ramadan maka dibuka pintu-pintu rahmat." ­- Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, hadis no: 1079.


5. Pintu Langit Terbuka Luas


ALLAH membuka pintu langit seluas-luasnya pada bulan Ramadan yang mulia ini untuk menurunkan limpahan rahmat-NYA kepada sekalian hamba-hamba-NYA serta segala amalan-amalan berbentuk ketaatan kepada-NYA akan naik secara terus kepada-NYA. Sabda Rasulullah s.a.w :


"
Apabila masuk bulan Ramadan, pintu-pintu langit dibuka." - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya, hadis no: 1899.


6. Pintu-Pintu Neraka Tertutup Rapat


Pintu-pintu neraka pula ditutup serapat-rapatnya pada bulan Ramadan. Ia menunjukkan bahawa pada bulan Ramadan yang mulia ini hamba-hamba ALLAH yang tekun beribadah dan menurut segala perintah-NYA terlindung daripada dorongan untuk melakukan perbuatan-perbuatan terlarang yang boleh menjadi penyebab untuk mereka dicampakkan ke dalam api neraka. Sabda Rasulullah s.a.w:


"
Apabila masuk bulan Ramadan, pintu-pintu langit dibuka dan pintu-pintu neraka jahanam ditutup." - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya, hadis no: 1899.


7. Syaitan dan Jin Dirantai


Pada bulan Ramadan syaitan dan jin dirantai untuk menghindari mereka dari mengganggu atau menghasut orang-orang yang beriman. Ada juga ulama mentafsirkan maksud syaitan dibelenggu ialah syaitan tidak dapat merosakkan ibadah manusia pada bulan Ramadan kerana ketekunan manusia melakukan ibadah puasa serta ibadah-ibadah lain. Ini kerana, ibadah puasa itu dapat mengawal nafsu mereka dari terdorong melakukan perkara mungkar.


Sabda Rasulullah s.a.w:


"
Apabila tibanya malam pertama bulan Ramadan dibelenggu syaitan-syaitan dan jin yang derhaka." - Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunan al-Tirmizi, Kitab al-Shaum, hadis no: 618.

Namun, persoalan yang timbul di sini bahawa sekiranya syaitan dan jin dibelenggu pada bulan Ramadan mengapa manusia masih melakukan kemungkaran pada bulan ini? Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, Imam al-Qurthubi r.h telah berkata:


"
Apabila semua syaitan terbelenggu tidak bermakna langsung tidak akan berlaku kejahatan dan kemaksiatan. Ini kerana, punca berlakunya kemaksiatan mungkin berpunca daripada faktor selain (hasutan) syaitan seperti diri manusia itu yang sememangnya berperangai buruk, sentiasa melakukan perbuatan mungkar serta manusia yang nafsunya masih terdorong mengikut hasutan syaitan." - Rujuk Fath al-Baari Syarh Sahih al-Bukhari, Tahqiq oleh Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, edisi terjemahan oleh Amiruddin, Pustaka Azzam, Jakarta (1997), jil. 11, ms. 43.

Mungkin ada yang akan tertanya-tanya tentang kebenaran fakta kewujudan syaitan mahupun jin dari jenis manusia. Sebenarnya ALLAH sendiri telah memerintahkan kita agar berwaspada dan memohon perlindungan kepada-NYA dari hasutan kelompok seperti ini.


Firman ALLAH S.W.T:


"
Katakanlah (wahai Muhammad): AKU berlindung kepada (ALLAH) Pemelihara sekalian manusia, yang Menguasai sekalian manusia, TUHAN yang berhak disembah oleh sekalian manusia, dari kejahatan pembisik yang timbul tenggelam, yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (iaitu pembisik) dari kalangan jin dan manusia." – Surah al-Nas: 1-6.

Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya maksiat dan kemungkaran masih wujud pada bulan Ramadan yang mulia ini. Malah, pada bulan ini kita sebenarnya berkesempatan untuk berkenalan dengan spesis syaitan atau jin dari kalangan kaum manusia. Ya! kita dapat mengenali spesies ini melalui sikap mereka yang enggan mentaati perintah ALLAH. Semoga kita semua terhindar dari tergolong dalam kelompok yang hina ini.



8. Pada Bulan Ini Terdapat Lailatul Qadar


Pada bulan ini juga terdapat satu malam yang lebih mulia berbanding 1000 bulan, iaitu lailatulqadar.


Firman ALLAH S.W.T:


"
Sesungguhnya KAMI telah menurunkan (al-Quran) itu pada malam al-Qadar. Apakah cara yang membolehkan engkau mengetahui kebesaran lailatulqadar itu? Lailatulqadar ialah malam yang paling baik berbanding 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin TUHAN mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar." – Surah al-Qadr: 1-5.

Oleh itu, sesiapa yang beribadah pada bulan Ramadan dan menepati malam lailatulqadar, ganjaran pahala amalannya itu melebihi ibadah yang dilakukannya selama 1000 bulan.


sumber: http://al-fikrah.net


-Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak 1431 H & Selamat Berpuasa-

Tuesday, July 27, 2010

Amalan-amalan Yang Digalakkan Dalam Bulan Syaaban


1. Syaaban ertinya berpecah atau bercerai-berai. Ia dinamakan demikian kerana orang-orang Arab pada bulan tersebut akan berhijrah ke mana-mana tempat untuk mencari air sehingga ke gua-gua dan sebagainya. Pendapat lain pula mengatakan, sebab diertikan demikian adalah sebagai tanda pemisah iaitu memisahkan di antara bulan Rejab dan Ramadhan.
2. Dari berbagai keterangan ini, yang dapat disimpulkan bagi pengertian bulan Syaaban itu ialah bulan Syaaban adalah masa untuk manusia berebut-rebut mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan persediaan untuk memasuki bulan Ramadhan
3. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam celaan dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.
4. Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah :
i. Memperbanyakkan puasa sunat. Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : "Sesiapa yang berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."
ii. Memperbanyak doa, zikir dan membaca selawat kepada Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW : "Sesiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)
iii. Bertaubat
iv. Meraikan malam 15 Syaaban atau lebih dikenali sebagai malam Nisfu Syaaban di mana sunat ia dihidupkan dengan membaca zikir dan Al Quran kerana malam tersebut adalah malam yang amat mustajab dan penuh rahmat.

sumber:http://ii.islam.gov.my

sawang

Lama tak update blog ni...makin bersawangla